Berita

Kartel perolehan baja RM1.8 bilion: Eksekutif pemasaran sebuah syarikat direman

- Diterbit 30 Oktober 2024 4:51 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang eksekutif pemasaran salah sebuah syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan.

Perintah reman selama empat hari sehingga 2 November ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap suspek selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam.

Sumber memberitahu, hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif (dormain) di Malaysia sejak lapan tahun lepas.

“Walau bagaimanapun syarikat induknya merupakan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura.

“Syarikat terbabit dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja berjumlah 15,000 tan atau lebih kurang RM60 juta pada 2022.

“Pemberian kontrak sangat meragukan di mana ia dipercayai dibuat atas arahan pihak tertinggi pertubuhan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan diberikan secara runding terus atas alasan pembelian darurat,” katanya.

Tambah sumber, kontrak bernilai RM60 juta ini boleh diberikan atas nama syarikat yang telah tidak aktif sejak lapan tahun lepas amat mencurigakan.

Katanya, begitu juga keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa atas nama pembelian kecemasan.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM telah memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi oleh salah sebuah pertubuhan yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Kes disiasat dibawah Seksyen 16, 18 dan 23 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas