KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai melakukan Operasi Disinfeksi (nyah kuman) termasuk melupuskan karpet di Masjid Seri Petaling di sini hari ini.
Menurut jurucakap JBPM Kuala Lumpur, operasi yang bermula pukul 9 pagi itu meliputi kawasan dalaman serta sekitar masjid dan ia merupakan operasi ketiga.
Ujarnya, karpet masjid tersebut dilupus oleh pihak Kualiti Alam menggunakan insenerator iaitu alat pembakar sampah yang dioperasikan dengan menggunakan teknologi pembakaran pada suhu tertentu.
“Operasi ini melibatkan keanggotaan seramai lima Pegawai Kanan dan 27 Anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada JBPM Kuala Lumpur, manakala 15 orang dari PKD Lembah Pantai.
“Operasi tersebut diketui Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Khairul Azuwan Ibrahim yang bertindak menyelaraskan kerja disinfeksi selain turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Kualiti Alam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – WILAYAHKU
