NASIB golongan belia di Pulau Bebas Cukai Labuan terus diperkasa Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerusi penganjuran Karnival Pendidikan dan Kerjaya.
Berlangsung di Kompleks Ujana Kewangan baru-baru ini, karnival tersebut memberi peluang kepada golongan belia dalam bidang pendidikan dan kerjaya.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed berkata penganjuran tersebut dapat memberi peluang dan ruang kepada golongan belia khususnya mereka yang melanjutkan pelajaran di menara gading.
“Melalui program ini, YWP telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada masyarakat yang memerlukan khususnya kepada golongan asnaf dan pelajar di Labuan,” ujarnya.
Antara bantuan yang disalurkan YWP adalah Tuisyen Madani @ PUJI berjumlah RM25,528, Bantuan Makanan Sekolah dan Bantuan Back To School (RM100,800).
“Kita berharap dengan bantuan yang disalurkan dapat membantu meningkatkan taraf pendidikan dan kebajikan.
“Kita yakin dapat menyuntik semangat para pelajar untuk terus berusaha dalam mencapai cita-cita,” ujar beliau.
YWP turut menyerahkan replika cek kepada penerima sebagai simbolik komitmen terhadap inisiatif pendidikan dan kebajikan.
“Sijil penghargaan turut diberikan kepada penganjur utama dan agensi-agensi yang membuka reruai,” ujar beliau.
Terdahulu, ia turut mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Perbadanan Labuan, Jabatan Pendidikan Labuan. – WILAYAHKU