KUPON penggalak jualan bernilai sehingga RM200,000 bakal diberikan secara percuma khas buat para pengunjung Karnival Usahawan Desa (KUD)@Putrajaya 2023 yang berlangsung pada 22 hingga 26 November ini.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun, program yang bermula dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam itu menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10,000 yang meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan.
“Kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan-usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan.
“Seramai lebih 800 usahawan dijemput bagi memperkenalkan produk pelancongan luar bandar yang menarik dan mampu menambat hati setiap pengunjung.
“Antara kategori jualan terdiri daripada makanan dan minuman, fesyen wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan, kesihatan, kraf tangan dan produk pertanian,” katanya ia dijangka menarik penyertaan sehingga satu juta pengunjung sepanjang tempoh lima hari pelaksanaannya.
Aktiviti yang dijalankan membabitkan pameran di bawah KKDW, agensi dan anak syarikat yang memfokuskan kepada keusahawanan, pendidikan serta penawaran kemudahan yang disediakan.
“Antaranya Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), Program Onboarding Usahawan, Program Pendigitalan Usahawan (PPU), perkampungan mini Orang Asli, persembahan dron dan padanan perniagaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Tidak ketinggalan juga aktiviti seperti Forum Perdana Ehwal Islam dengan panel jemputan, Ustaz Harryanto Rizal Rokman; Ustaz Dr Mohd Erfino Johari dan Ustaz Datuk Dr Zahazan Mohamed, selain persembahan nyanyian oleh kumpulan nasyid Rabbani, UNIC, InTeam dan Daqmie. Turut diadakan perkampungan mini Orang Asli, pertandingan e-sukan dan banyak lagi.
“Di samping itu, komponen Rural Tourism yang berkonsepkan desa ideal turut diperkenalkan kepada masyarakat luar bandar yang membabitkan penyertaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR),” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata sebanyak 10 agensi di bawah KKDW akan terbabit dalam karnival berkenaan iaitu MARA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), KETENGAH, KEDA dan KEJORA.
“Pelaksanaan program ini juga didokong menerusi pembabitan pengisian program dari Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD), Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran (K), Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK) dan GiatMARA.
“Ia turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Perbadanan Putrajaya, khususnya dalam kelulusan penggunaan lokasi Anjung Floria dan khidmat nasihat pelaksanaan program berskala besar di Putrajaya,” katanya perkhidmatan buggy juga diperkenalkan pada kali ini setelah mengambil kira keluasan lokasi program untuk diterokai oleh para pengunjung serta keprihatinan KKDW terhadap keperluan warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU). – WILAYAHKU