PENGANJURAN Program Jom Karnival Kucing Madani yang dihadiri pelbagai kaum dan agama tanpa kira usia dilihat sebagai medan menyatupadukan rakyat, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Isteri kepada Perdana Menteri itu juga berkata beliau teruja melihat sambutan amat memberangsangkan yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menarik ini.
“Kehadiran hadirin semua daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama… ada yang tua dan ada yang muda telah membuktikan bahawa kita sebagai sebuah Keluarga Perpaduan boleh berkumpul bersama mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat muhibah sebagai sebuah komuniti,” katanya dalam ucapan di Majlis Penutup Jom Karnival Kucing Madani di Institut Latihan DBKL (IDB).
Teks ucapan beliau dibacakan oleh anaknya, Nurul Izzah Anwar.
Menurut Wan Azizah, jika sebelum ini sering mendengar bahawa ‘sukan menyatupadukan rakyat namun hari ini beliau menyifatkan program ‘kucing menyatupadukan rakyat’.
Tambahnya, sempena karnival itu, pelbagai program telah dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan vaksinasi kucing.
Beliau berkata kesedaran diberikan seperti ancaman penyakit berbahaya dan keperluan makanan yang sihat untuk haiwan peliharaan.
“Semua ini adalah usaha yang sangat penting dalam memastikan kesejahteraan haiwan peliharaan kita terpelihara dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada barisan penaja yang telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka dengan penuh komitmen dalam memperjuangkan kebajikan haiwan, khususnya kepada para pencinta kucing.
Beliau berkata inisiatif sebegini patut dicontohi oleh syarikat-syarikat lain sebagai sebahagian daripada usaha menyemai nilai murni dalam masyarakat.
Pada program itu, Nurul Izzah turut menerima bendera Malaysia sebagai simbolik ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024. – WILAYAHKU