PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia yang diadakan sejak Ogos lalu terus mendapat sambutan menggalakkan dan akan diperluaskan di seluruh Parlimen Setiawangsa susulan kejayaan program yang diadakan di Dewan Terbuka Surau Nurussalam Kelumpuk Kenanga, Ahad lalu.
Presiden Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa), Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata inisiatif jualan murah ini membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Kita dapat lihat respons yang baik apabila orang ramai mula turun seawal pukul 8 pagi dan program seperti ini tidak akan berakhir di sini di mana ia akan dikembangkan kepada komuniti-komuniti di seluruh Parlimen Setiawangsa agar lebih ramai mengecapi penjimatan kos sara hidup.
“Mudah sahaja, kalau kita tidak dapat tambah pendapatan kerana ia akan ambil masa, jadi dengan kerapnya jualan murah ini diadakan, ia boleh menjimatkan perbelanjaan kos sara hidup kita,” katanya kepada pemberita sejurus perasmian Karnival Jualan Murah Komuniti Keluarga Malaysia peringkat Parlimen Setiawangsa, baru-baru ini.
Tambahnya program kali ini merupakan anjuran kali pertama hasil kerjasama komuniti penduduk dan Komuniti Keluarga Malaysia (KKM).
“Program baru-baru ini bersama penduduk Kelumpuk Kenanga Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM Cempaka AU3 dan beberapa organisasi lain yang bekerjasama atas semangat Keluarga Malaysia. Kita menyahut seruan kerajaan untuk membantu komuniti setempat mengurangkan kos sara hidup.
“Menerusi Karnival Jualan Murah ini, rakyat dapat menikmati harga barangan keperluan harian sehingga 20 peratus lebih murah dari pasaran,” ujarnya.
Irwan berkata pihaknya bercadang untuk menjadikan program tersebut secara mingguan kerana jika lebih kerap ia diadakan, lebih banyak penjimatan dapat dilakukan.
Terdahulu, Program Karnival Jualan Murah Keluarga Malaysia turut mengadakan jualan murah barangan runcit, barangan basah (ayam, ikan dan daging) dan cabutan bertuah buat pengunjung yang berbelanja RM30 ke atas. – WILAYAHKU