KARNIVAL Deepavali ke-22 (DC24) anjuran Agenda Suria Communication di Kompleks Sukan Bukit Jalil menarik lebih 400,000 pengunjung.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communications, Jaggarao Simancha berkata DC24 yang bermula dari 22 Oktober lalu dan berakhir hari ini diadakan di Parkir Terbuka B menampilkan pelbagai makanan tradisi masyarakat India, Melayu dan Cina.
Beliau berkata DC24 yang berlangsung dari pukul 12 tengah hari hingga 10 malam dijangka akan dikunjungi 30,000 hingga 50,000 lagi pengunjung pada hari terakhir penganjurannya.
Katanya acara itu terus mendapat sambutan setiap tahun dan kini menjadi tumpuan masyarakat India dalam membuat persiapan untuk menyambut Pesta Cahaya.
“Kami sangat berpuas hati kerana majlis ini telah berlangsung dengan meriah sekali dan mendapat kerjasama serta sambutan begitu baik daripada semua penduduk Malaysia bukan sahaja masyarakat India tetapi Melayu dan Cina.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua vendor terlibat dan semua pengunjung datang ke karnival kita ini,” katanya ketika ditemui di dalam Majlis Penutup Karnival Deepavali ke-22.
Semalam, Menteri Digital Gobind Singh Deo hadir dalam majlis penutup itu dan membuat lawatan ke Karnival Deepavali.
Sementara itu, Jaggarao turut bertekad menjadikan penganjuran karnival itu lebih besar akan datang.
Beliau berkata penganjuran tahun ini yang mendapat sambutan mengkagumkan merupakan kejayaan terbesar pihaknya.
“Apa saya gembira ini menunjukkan pencapaian ekonomi yang baik. Ini bagaimana kuasa beli kali ini bagus.
“Kita juga mendapat komen vendor yang baik. Ini menunjukkan ekonomi Malaysia ke arah betul. Ini tanda ekonomi negara bertambah baik,” katanya.
Jaggarao berkata selain menampilkan makanan tradisi kaum India, DC24 turut memperkenalkan makanan masyarakat Melayu dan Cina. – WILAYAHKU