Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN
PUTRAJAYA – Kapsul masa yang ditanam 25 tahun lalu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat akan dibuka dalam satu acara kemuncak sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya pada 29 Ogos ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata apa yang menarik dalam sambutan ini, kapsul masa tersebut dijangka dibuka oleh orang yang sama iaitu Tun Dr. Mahathir sendiri.
“Ketika kapsul masa itu ditanam pada 29 Ogos 1995, Dr. Mahathir ketika itu merupakan Perdana Menteri dan setelah 25 tahun, beliau sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

“Setelah kapsul masa tersebut dibuka, beliau dijangka menanam kapsul masa baharu dan hanya akan dibuka pada Sambutan Jubli Emas Putrajaya pada tahun 2045 iaitu 25 tahun akan datang oleh Perdana Menteri ketika itu.” katanya dalam sidang akhbar sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Rosida Jaafar, Timbalan KSU KWP, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hasim.
Kata Khalid lagi, sebanyak 14 acara khas telah dirancang sempena sambutan Jubli Perak pada tahun ini.
Terdahulu, Khalid menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo Jubli Perak Putrajaya 2020 kepada Muhammad Zaidi Abdullah dari Cyberjaya.- WILAYAHKU