AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan menahan sebuah kapal tangki bersama tujuh kru susulan yang membawa muatan 30,000 liter diesel tanpa Petroleum Development Act (PDA), baru-baru ini.
Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros, kapal peronda APMM yang sedang menjalankan rondaan OP Sejahtera 1/2022 dan OP Tiris 3.0 melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal tangki berwarna jingga yang sedang beroperasi di perairan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal itu dipercayai dikendalikan oleh ketua pegawai kapal berusia 37 tahun dan ketua jurutera berusia 29 tahun masing-masing warga Indonesia.
“Kapal tangki yang membawa muatan diesel sebanyak 30,000 liter disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Petroleum 1984 iaitu beroperasi tanpa PDA iaitu bukti invois pembelian bahan bakar,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Izwanhadi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua tujuh kru kapal juga disyaki memiliki dokumen yang meragukan dan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Ketua pegawai kapal dan ketua jurutera serta kru kapal berserta dokumen ditahan dan diiring masuk ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut,”katanya. Sehubungan itu, APMM menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kelakuan jenayah di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.- WILAYAHKU.