AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan menahan sebuah kapal tangki disyaki membawa diesel dengan nilai angaran RM1 juta di perairan Utara Pulau Kuraman pagi Isnin.
Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros, pasukannya melaksanakan rondaan di sekitar perairan Labuan dan menahan sebuah kapal tangki yang terapung dalam gelap dan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kapal tersebut disyaki telah melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan mendapati kapal berkenaan berasal dari Miri, Sarawak telah membawa muatan minyak diesel lebih kurang 70, 000 liter disyaki hasil daripada aktiviti pemindahan dari kapal ke kapal (Ship to Ship).
“Anggaran keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kesemua rampasan dan tujuh orang anak kapal berumur 21 tahun sehingga 51 tahun yang berasal dari Negara Indonesia itu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Izwanhadi menyeru kepada orang ramai menyalurkan informasi aktiviti jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera. – WILAYAHKU