KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan syarat baru musim haji 2025 yang tidak membenarkan kanak-kanak menunaikan haji.
Kementerian Haji dan Umrahnya dalam satu kenyataan, berkata keputusan itu dibuat bagi melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada bahaya berikutan jutaan jemaah dari seluruh dunia mengerjakan haji saban tahun.
“Syarat baru itu dikenakan bagi menjaga keselamatan jemaah haji kanak-kanak daripada terdedah kepada bahaya serta memudahkan pihak berkuasa menguruskan jemaah sekiranya berlaku situasi tidak diingini.
“Selain itu pihak kerajaan juga mahu proses haji tahun ini berjalan dengan lancar,” ujar kenyataan itu.
Lapor agensi lagi, keutamaan menunaikan haji bagi 2025 juga akan diberikan kepada mereka yang pertama kali ke tanah suci.
Pada 2024, lebih 1,200 jemaah meninggal dunia ekoran cuaca yang terlalu panas dan kesesakkan manusia. Pihak berkuasa percaya ia berpunca daripada kemasukkan jemaah haji yang tidak berdaftar.
Tahun lalu seramai 1.83 juta umat Islam mengerjakan haji, 1.6 juta jemaah datang dari 22 negara manakala 222,000 adalah penduduk dan rakyat Saudi. – WILAYAHKU