Berita

Kanak-kanak sasaran scammer, perkenal subjek keselamatan siber

PENGGUNAAN teknologi juga perlu dimanfaatkan untuk melindungi kanak-kanak. Gambar hiasan
- Diterbit 22 Januari 2025 11:30 AM MYT

LANGKAH-LANGKAH pencegahan dari sekarang adalah penting untuk memastikan perlindungan kanak-kanak dalam talian, ujar Pensyarah Kanan di Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Wiraputra Selamat.

Beliau berkata, pendidikan adalah tunjang kesedaran terhadap isu tersebut, maka sewajarnya subjek keselamatan siber dimasukkan sebagai salah satu mata pelajaran utama dalam kurikulum pendidikan.

“Dalam menjayakan langkah ini, pengajar subjek ini perlu mempunyai kepakaran dalam pengetahuan digital, malah sebaiknya pernah terlibat dalam industri.

“Subjek keselamatan siber ini juga boleh memanfaatkan pendekatan permainan dan gamifikasi, agar pelajar dapat menangkap konsep ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Wiraputra berkata, latihan praktikal seperti simulasi ancaman boleh dimasukkan supaya mereka dapat mempelajari bagaimana untuk melindungi diri mereka sendiri di alam siber.

Beliau berkata, anak-anak juga perlu dididik dan diajar menguruskan kata laluan dengan selamat, tidak berkongsi kata laluan dan kaedah betul dalam mengingati kata laluan.

“Libatkan juga mereka semasa kita mempraktikkan perlindungan akaun. Kanak-kanak juga perlu didedahkan dengan pelbagai kaedah dalam mewujudkan persekitaran rangkaian yang selamat daripada ancaman termasuk mengelak daripada mengklik pautan atau lampiran berniat jahat serta memuat turun kandungan atau aplikasi di luar dari platform perkhidmatan pengedaran digital,” katanya.

Menurut Ahmad Wiraputra lagi, di peringkat komuniti, program kesedaran keselamatan siber perlu diperluaskan dengan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, contohnya Kempen Klik Dengan Bijak yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Penggunaan teknologi juga perlu dimanfaatkan untuk melindungi kanak-kanak. Penyedia perkhidmatan Internet dan aplikasi perlu menyediakan ciri kawalan ibu bapa (parental control) yang lebih mesra pengguna.

“Selain itu, algoritma yang mengawal kandungan di platform media sosial perlu direka untuk mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya,” katanya.

Tambahnya perlindungan kanak-kanak dalam talian penting berikutan beberapa tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Malaysia hampir menjadi mangsa jenayah siber apabila diperdaya melalui platform permainan video.

Katanya, penjenayah menggunakan helah memberikan ‘hadiah digital’ yang lumayan dengan syarat mangsa berkongsi gambar dan butiran peribadinya.

“Keadaan bertambah buruk apabila penjenayah cuba mengatur pertemuan fizikal dengan mangsa.

“Kanak-kanak tersebut bernasib baik apabila aktiviti dan kelakuan anehnya disedari ibu bapa seterusnya melaporkan penjenayah tersebut kepada pihak berkuasa,” katanya.

Ahmad Wiraputra berkata, kejadian itu mungkin hanya satu dari ribuan kes yang berlaku melibatkan kanak-kanak di alam siber.

Katanya, sama ada ibu bapa suka atau tidak, 90 peratus kanak-kanak berumur lebih lapan tahun terdedah kepada pelbagai kandungan Internet, sama ada untuk pembelajaran, permainan, hiburan mahupun lain-lain yang mungkin kurang disenangi.

“Laporan ‘Mengapa Kanak-kanak Tidak Selamat di Ruang Siber’ daripada Forum Keselamatan Siber Global mendapati bahawa 72 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berhadapan dengan sekurang-kurangnya satu jenis ancaman siber dalam talian.

“Ini amat membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal, integriti dan privasi golongan muda,” katanya.

Tambahnya berdasarkan  kajian badan teknologi ‘Check Point’, hanya 40 peratus ibu bapa sedar bahawa anak-anak mereka telah menghadapi ancaman siber.

Katanya, salah satu bahaya utama ialah penipuan atau scam yang menyasarkan kanak-kanak melalui permainan video, media sosial atau e-mel palsu.

“Scammer sering memanipulasi emosi kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat peribadi atau wang daripada mereka.

“Kes penculikan yang dirancang melalui media sosial juga semakin membimbangkan.

“Kanak-kanak yang tidak berhati-hati berkongsi maklumat peribadi seperti lokasi, jadual harian atau gambar diri mereka boleh menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

Ahmad Wiraputra berkata,  ancaman siber seperti buli dalam talian dan eksploitasi seksual turut menjadi isu serius, dengan kesannya yang mendalam terhadap kesihatan mental dan emosi.

Jelasnya, tidak ketinggalan juga ialah pendedahan kepada kandungan tidak sesuai seperti video ganas, bahan lucah, atau maklumat yang menyesatkan pemikiran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas