Berita

Kampung Pertanian diangkat sebagai Santuni Madani

- Diterbit 7 Oktober 2024 10:25 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah memilih kampungnya sendiri iaitu Kampung Pertanian yang terletak di Kulai, Johor sebagai Santuni Madani.

Beliau berkata program Santuni Madani merupakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan yang lalu agar setiap pemimpin di negara ini dipertanggungjawabkan menjaga sebuah kampung.

“Ini bagi mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi di kampung berkenaan dan inisiatif ini telah dijenamakan sebagai Santuni Madani.

“Dulu saya ada klinik di kawasan Bandar Putra Kulai (Klinik Murni) dan kebanyakan penduduk di Kampung Pertanian adalah patient saya. Jadi, kampung ini memang cukup nostalgia buat saya,” katanya di Facebook.

Menurut Zaliha, bulan lalu, setiausaha politik beliau telah turun berjumpa dengan pemimpin tempatan dan melihat keperluan serta mengenal pasti demografi setempat di kawasan tersebut.

Beliau turut mengaturkan perbincangan dengan Pegawai Daerah Kulai, Fizwan Mohd Rashidi dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Mohd Fahmi Salam.

“Turut hadir penghulu, wakil JPKK dan wakil Pejabat Ahli Parlimen Kulai.
“Saya bawa dari Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama dalam perbincangan ini adalah Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan delegasi,” katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata terdapat ruang dan potensi kerjasama boleh diusahakan di antara PPj dan Kampung Pertanian.

Beliau berkata antaranya melalui inisiatif yang sedang giatkan di Wilayah Persekutuan masa ini iaitu Waste to Wealth dan Kebun Komuniti.

“Insya-Allah, jika dilaksanakan dengan kaedah yang tersusun dan teratur, taraf sosioekonomi penduduk boleh ditingkatkan,” katanya.

Tambah Zaliha, dalam sesi perbincangan tersebut, PPj juga membentangkan cadangan pengindahan tebing Sungai Skudai dan potensi untuk menjadikan Kampung Pertanian sebagai tumpuan pelancong domestik.

“Ini baru langkah awal. Insya-Allah kita akan jayakan Program Santuni Madani ini di Kampung Pertanian selaras kehendak Perdana Menteri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas