Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

“Kami solat subuh di hutan”… Ustaz Kazim puji krew Zim Zim Ala Kazim tunai kewajipan

- Diterbit 21 Jun 2024 8:12 AM MYT

PENDAKWAH terkenal Datuk Mohammad Kazim Elias yang juga pelakon utama filem Zim Zim Ala Kazim berharap penglibatannya dalam industri perfileman dapat menjadi contoh kepada golongan agamawan.

Ini sekaligus mendorong agamawan untuk turun padang dan mendekati mereka yang dianggap menjalani kehidupan negatif selama ini seperti mereka yang bekerja dalam industri perfileman.

Ini kerana Ustaz Kazim sendiri memuji sikap krew filem yang tidak meninggalkan solat meskipun sibuk di set penggambaran.

“Jadi, selama ini, asatizah atau sesiapa yang cakap ‘panggung wayang, begini, pelakon, begini, artis, begini’. Kenapa kita tak bercampur dan mendekati mereka.

“Ini filem dan skrip terbaik kami buat, supaya boleh menasihati. Saya cuba untuk merapatkan mereka dengan pelbagai syarat dan sebagainya. Bukan senang saya nak terima tawaran ini. Seperti yang saya katakan, tidak boleh bersentuhan.

“Contohnya, dalam babak saya muntah, watak isteri saya tak pegang saya. Mana ada dalam dunia, suami muntah darah, isteri buat bodoh saja. Tapi, dalam filem, tak boleh sentuh.

“Kedua, kena jaga solat di set. Kita buat sistem itu, alhamdulillah kita nampak filem ini boleh pergi. Cuma, kita perbaiki pada masa akan datang kalau ada kekurangan. Itu antara perjanjian yang saya buat dengan pasukan produksi.

“Selain itu, tak boleh ada babak yang budak-budak malu nak tengok. Bagi saya, pasukan produksi semuanya okay.

“Jaga solat walaupun kerja siang malam. Paling tersentuh, babak saya ‘mati’, kami solat Subuh dalam hutan. Ini benda yang patut dibuat. Kalau boleh, setiap set penggambaran itu ada surau untuk pelakon solat,” katanya.

DI sebalik tabir filem Zim Zim Ala Kazim

Dalam masa yang sama, Kazim berkata, dia mempunyai matlamat dan sasaran tersendiri dalam menyebarkan dakwahnya menerusi filem Zim Zim Ala Kazim arahan Mawi itu.

“Bagi saya filem ini okay dan mesejnya sampai kerana ia dalam bentuk santai. Ada komedi, seram, parodi dan serius untuk masyarakat. Walaupun filem ini adaptasi idea saya, tapi jalan ceritanya diolah dan dirombak sedikit.

“Saya okay saja. Alhamdulillah. Jadi, tolong bagi sokongan dan kepercayaan kepada saya. Dulu, saya buat pelancongan di atas kapal yang mana ada macam-macam, sehinggalah kapal tadi bersih daripada kasino dan macam-macam lagi.

“Jadi, sasaran saya dalam filem adalah kita buat satu filem yang baik. Kru yang bagus, pelakon yang bagus, skrip yang bagus, pengarahan yang bagus dan hasil yang bagus supaya masyarakat dapat tengok dan tak jadi masalah,” tambahnya.

Filem Zim Zim Ala Kazim ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 13 Jun lalu dan mengangkat kisah pengalaman Kazim berdepan ilmu hitam dalam bentuk komedi. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas