USAHAWAN dan pengacara, Noor Neelofa mengakui sebagai kakak, dia pasti ada menasihati adiknya, Ameera Khan yang terkait kontroversi video bermesraan bersama kekasihnya yang juga aktor dari Indonesia, Jefri Nichol.
Namun, Neelofa berkata apa tindakan terhadap Ameera tidak perlu dikongsikan kerana menyifatkan perkara itu sebagai terlalu peribadi.
“Saya tidak boleh berkongsi apa saya lakukan. Sebagai kakak, saya sudah melakukan bahagian saya dan tahu apa yang sesuai untuk dilakukan terhadap adik saya.
“Saya juga meminta jangan mengecam atau tulis yang buruk-buruk. Sekalipun kamu suka atau tidak suka, tolong selitkan doa yang baik.
“Susunan takdir Allah dan segala perancangan boleh diubah menjadi sesuatu yang baik dengan doa yang baik. Sudah tentu saya nak yang terbaik untuk adik-adik dan kakak saya,” katanya yang ditemui di malam kemuncak Festival The Muslim World Women’s Summit: Voice of H.E.R dan Anugerah Ibu Zain 2025 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini, malam tadi.
Neelofa juga berkata, keluarganya juga bukan tidak mempedulikan nasihat orang ramai tetapi mereka mempunyai cara tersendiri dalam menangani isu itu.
“Kami sekeluarga cakna dengan apa yang berlaku. Kami ada cara tersendiri untuk menasihati.
“Mungkin keluarga dan adik-beradik lain ada cara mereka sendiri.
“Walaupun di mata orang belum cukup bagus, tapi insyha-Allah kita tahu apa yang terbaik untuk dia,” katanya,” katanya.
Ditanya adakah keluarga merestui hubungan antara Ameera dan Jefri, Neelofa memilih untuk tidak mengulas lanjut.
Baru-baru ini, Ameera menerima kecaman hebat selepas video serta gambar mesra duduk di riba Jefri dan berpelukan tular di media sosial.
Dalam video tersebut, Jefri dilihat mencium pipi Ameera dan merangkulnya erat, yang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan netizen.
Sebelum itu, Jefri pernah dikritik kerana mengaku tidur dengan lebih 20 wanita, selain terlibat dalam isu kecurangan dan makan daging babi.-WILAYAHKU