Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

‘Kalau silap, boleh jadi macam baju songket pengantin’… Ezuwan Ismail kagum cara kerja Siti Nurhaliza

- Diterbit 1 Julai 2024 10:54 AM MYT

SATU pengalaman indah buat pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail apabila sekali lagi dapat bekerjasama dengan penyanyi Datuk Seri Nurhaliza sepanjang dua hari berada di belakang pentas bersempena dengan Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024, baru-baru ini.

Ezuwan, 42, yang mereka dua persalinan buat Siti menerusi konsert yang berlangsung selama dua hari itu turut memuji pengurusan masa figura bersuara merdu itu.

“Bersyukur kerana kami serasi dan mudah bekerjasama. Dia peramah, selalu senyum dan profesional, termasuk pihak pengurusannya juga. Meski pun dia tersohor, namun sikap rendah diri itulah yang sebenarnya memudahkan proses kerja.

“Saya percaya, pengalamannya yang kini hampir tiga dekad di dalam industri membuatkan dia cukup matang, selain menghormati peranan setiap orang yang berada di sekeliling.

“Sebagai pereka fesyen pula, saya sedia maklum akan keterbatasannya dalam menggayakan busana. Jadi bila sesi lakaran dan ‘fitting’ dilakukan, saya akan lontarkan idea dan lega bila hasil kerja kita lulus di matanya.

“Bayangkan waktu saya sampai di belakang pentas konsert, dia sudah pun siap bersolek dan bertelekung sebab nak menunggu waktu solat. Kemudian barulah dia akan pakai busana sambil dibantu pembantu wanita sebelum membuat persembahan,” katanya.

“Bersyukur kerana kami serasi dan mudah bekerjasama. Dia peramah, selalu senyum dan profesional, termasuk pihak pengurusannya juga. Meski pun dia tersohor” – Ezuwan Ismail

Ezuwan juga terharu apabila Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K juga menghargai persalinan yang direka kepada isteri tercinta.

“Alhamdulillah Datuk K suka dengan baju yang saya buat. Dia sempat beri isyarat ‘thumbs up’ sambil kata cantik. Iyalah, bukan senang nak dapat pujian sedemikian daripada Datuk K.

“Rasa berbaloi bila terima dedikasi tersebut mengenangkan kita sendiri bertungkus-lumus mahu beri yang terbaik demi konsert skala besar Siti di negara orang,” katanya lagi.

“Saya fokus kepada perincian yang mana ia disulami dengan puluhan ribu manik-manik halus selain ada tassel, kerawang dan guna dawai di bahagian bahu bagi memberikan ilusi ‘3D’ pada rekaan,” – Ezuwan Ismail

Berkongsi mengenai rekaannya pula, Ezuwan cabar diri kerana buat pertama kali, menyiapkan helaian tradisional buat penyanyi lagu Cindai itu.

“Ada dua persalinan yang dapat sentuhan saya iaitu satu busana moden. Itu boleh dianggap sudah jadi macam ‘makanan’ kita. Cuma agak mencabar nak siapkan baju tradisional sebab kalau silap langkah, ia boleh jadi macam baju songket pengantin!

“Saya cubalah yang terbaik kerana nak nampak ia ada elemen glamor di samping masih mengekalkan aura kemelayuannya. Memang menguji sebab sepanjang proses menyiapkan busana itu, saya di Tanah Suci bagi menunaikan Haji.

“Jadi tak dapat nak pegang depan mata. Walaupun saya dah biasa buat baju, tapi sentuhan pereka feysen itu adalah kepuasan sebenar. Kami hanya berkomuniksasi menerusi panggilan video saja, namun syukur kerana dipermudahkan.

“Untuk persalinan itu juga, saya fokus kepada perincian yang mana ia disulami dengan puluhan ribu manik-manik halus selain ada tassel, kerawang dan guna dawai di bahagian bahu bagi memberikan ilusi ‘3D’ pada rekaan,” katanya lagi.

Terdahulu, busana yang digayakan penyanyi nombor satu Negara itu menjadi bualan di media sosial selepas Siti atau penggilan mesranya TokTi, memuat naik hantaran di akaun Instagram, semalam.

Hingga kini, perkongsian terbabit meraih hampir 30,000 tanda suka dengan lebih 300 komen warganet.

Rata-ratanya memuji persalinan indah yang digayakan Siti ketika menjayakan slot Irama Malaysia menerusi konsert yang berlangsung di Singapura itu. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas