Selebriti

“Kalau saya meninggal dunia…” – Nadia syukur masih bernafas

|NADIA kini muncul dengan lagu Insaf
- Diterbit 4 Mac 2022 10:23 AM MYT

PENYANYI Nadia yang popular dengan lagu Salam Untuk Kekasih mengaku mahu dikenang dengan perkara yang baik-baik andai dia pergi bertemu Ilahi suatu hari nanti.

Nadia atau nama sebenarnya Zarina Mohd Ali, 50, berasakan hasratnya tercapai apabila muncul dengan lagu Insaf.

“Kalau saya meninggal dunia semasa saya sakit sebelum ini, orang akan ingat saya dengan lagu Salam Untuk Kekasih.

“Namun dengan adanya lagu Insaf, kalau berlaku apa-apa orang akan kenang saya dengan lagu ini dan ia sangat baik. Semoga lagu ini diterima Allah sebagai satu amalan,” katanya.

Enam bulan lalu, Nadia diuji dengan penyakit strok otak yang kritikal, namun bersyukur dapat pulih dalam tempoh yang agak cepat.

“Saya ketika itu berada dalam keadaan sihat dan nak buat satu program untuk radio secara strim. Tiba-tiba saya tak boleh berdiri. Manakala otak dengan mulut tidak boleh berhubung. Nak cakap benda lain tapi yang keluar dimulut lain.

“Saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital selama beberapa hari sebelum dipindahkan ke wad biasa. Alhamdulillah pemulihan saya sekarang sudah 80 peratus,” ujarnya.

NADIA kini muncul dengan lagu Insaf

Nadia yang bergelar pengusaha hotel di Sipitang, Sabah berkata, dia bersyukur Allah memberinya peluang untuk terus bernafas.

“Kali ini saya takkan mensia-siakan hidup dan jaga kesihatan sebaiknya. Saya kini amat menjaga makan ubat kolesterol dan darah tinggi. Setiap bulan akan buat pemeriksaan doktor.

“Saya tak berniat mencari untung wang ringgit dari lagu ini kecuali mengharapkan ia diterima sebagai satu amal untuk saya menjawab di akhirat nanti dengan bakat yang ada.

“Dengan rendah hati, saya berharap ia diterima Allah sebagai satu amal,” katanya sambil menangis.

Nadia yang kini hidup ditemani sepasang anak yang meningkat dewasa menghasilkan sendiri lagu ini sepenuhnya, manakala Julfekar bertindak sebagai penerbit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas