PRIMADONA filem Melayu, Erra Fazira mencadangkan agar ibu bapa yang berkemampuan menggunakan cip untuk mengesan keberadaan anak-anak.
Ia merupakan salah satu cara berkesan untuk memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang masa.
Apa yang berlaku sangat menyedihkan. Kisah kehilangan, penculikan dan pembunuhan yang melibatkan kanak-kanak sesuatu yang menakutkan.
“Kita sebagai ibu bapa sudah tentu mahukan yang terbaik untuk mereka. Zaman sekarang, kalau boleh nak pegang tangan anak, tak nak lepas dah.
“Bagi mereka yang berkemampuan, sekarang ini ada cip yang boleh mengesan mereka berada dan boleh diletakkan dalam poket. Iyalah, kita buat macam-macam usaha demi anak.
“Kalau tak berkemampuan, kita tetap kena pastikan keselamatan mereka misalnya sering beritahu mereka jangan jauh dari pandangan mata kita.
“Saya selalu ingatkan anak saya Aleesya dulu, terutamanya kalau sedang shopping di tempat ramai orang, make sure you can see me and i can see you. Kalau saya toleh you tak ada, saya akan marah,” ujarnya.
Erra juga sentiasa peka dengan isu semasa terutamanya jenayah dan dia turut berkongsi berita tersebut dengan anaknya.
“Pendekatan yang saya dan bekas suami buat, kami akan bacakan kepada Aleesya berita-berita berkaitan jenayah kanak-kanak yang berlaku di sekeliling kita.
“Jelaskan dengan cara paling mudah agar dia faham. Kena bagitahu betul-betul. Saya panggil Aleesya dan ceritakan jenayah penculikan yang berlaku sekarang,” tambahnya. – WILAYAHKU