“KAKITANGAN Perbadanan Labuan (PL) perlu profesional dan bijak dalam menjaga hubungan yang sedia ada dan lebih dekat dengan rakyat Labuan,” kata Pengerusinya, Senator Datuk Bashir Alias.
Beliau berkata semua kakitangan PL perlu mempunyai daya penyelesaian yang baik bagi memastikan setiap langkah yang diambil memberikan impak positif kepada masyarakat di Labuan.
“PL mengalu-alukan pandangan warga Labuan terhadap perkhidmatan dan kebajikan yang disampaikan melalui saluran yang dimiliki oleh Perbadanan Labuan seperti laman web, Facebook, Twitter, TikTok, Telegram dan lain-lain.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Hari Bertemu Pelanggan Perbadanan Labuan di sini, pada Ahad lalu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL Rithuan Mohd Ismail. Kesinambungan PL dua dekad katanya, ianya merupakan sambutan PL ke arah Jubli Perak pada tahun 2026.
Dalam perkembangan lain, Bashir turut memaklumkan pengiktirafan Labuan sebagai Geopark Kebangsaan.
Katanya, Labuan Geopark telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu Geopark Kebangsaan iaitu yang ke-7 di Malaysia dan pengiktirafan tersebut diperakukan pada 16 Disember tahun lepas.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh warga Labuan secara langsung dan tidak langsung kerana memberi kerjasama dalam menjayakan Labuan Geopark ini.
“Dengan pengiktirafan ini, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan dan dirancang oleh PL untuk membangunkan jenama Labuan Geopark melalui pembangunan tapak, geoproduk komuniti, promosi dan libat urus berterusan, produk makanan serta perkhidmatan berkaitan,” katanya. -WILAYAHKU