Berita

Kakitangan awam bakal nikmati kenaikan gaji secara dua fasa

- Diterbit 16 Ogos 2024 1:01 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji yang akan dinikmati penjawat awam adalah sebanyak 7 hingga 15% melalui pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Beliau berkata kenaikan itu membabitkan kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional sebanyak 15% serta pengurusan tertinggi 7%.

Kata Anwar, penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji secara dua fasa.

Menurutnya, bagi kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional akan menerima kenaikan pada fasa 1 sebanyak 8% yang akan bermula 1 Disember ini.

“Bagi fasa 2 kumpulan itu akan menerima kenaikan 7% bermula 1 Januari 2026 sementara bagi kumpulan pengurusan tertinggi pada fasa 1 akan menerima kenaikan 4% bermula 1 Disember ini dan fasa 2 akan menerima kenaikan 3% bermula 1 Januari 2026,” ujar beliau.

Pengumuman itu dibuat Anwar semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam pengumuman itu, julat peningkatan pendapatan selepas penyelarasan SSPA adalah 16.8% hingga 42.7%.

Untuk rekod, kali terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013 dengan membabitkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas