Oleh SYUQQREE DAIN
Video oleh HASIF HALIMI
BAGI sesetengah pihak, minat mengumpul patung figura aksi daripada watak siri animasi, komik, filem atau adiwira kegemaran mungkin dilihat sebagai satu hobi yang agak kebudak-budakan, namun kini ia semakin menjadi kegilaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berstatus ‘pengumpul’.
Disebabkan oleh minat yang mendalam, ada antara pengumpul yang sanggup berbelanja besar sehingga mencecah ribuan ringgit untuk mendapatkan koleksi figura aksi yang diidamkan daripada peniaga dari luar negara menerusi pelbagai platform antaranya media sosial dan laman sesawang.
Memiliki lebih 1,000 figura aksi dan barangan dari filem Batman, iaitu karakter yang cukup sinonim dengan kanak-kanak era 90-an sehingga kini ibarat mimpi jadi kenyataan buat Razman Shah, 39. Dia menyimpan dan menyusun koleksi tersebut dengan teratur di dalam bilik ibarat sebuah galeri peribadi.
Menurut Razman, beliau mula menjadi seorang pengumpul figura aksi Batman sejak dua dekad lalu dan kesemua barangan tersebut merupakan koleksi yang pernah muncul di dalam filem dan komik Batman yang menjadi kegilaan seluruh dunia pada era 60-an, 80-an dan lewat 90-an.

Antara koleksi figura Batman milik Razman yang paling signifikan serta jarang dijumpai ialah Batwing (filem Batman 1989), Batmissile Batmobile (filem Batman 1989), Arkham Knight Batmobile daripada Project Triforce (permainan video Batman Arkham Knight 2015), Batmobile (filem The Batman 2002) dan Batmobile (filem Batman VS Superman 2016).
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata dirinya mula meminati karakter Batman lakonan Adam West daripada filem Batman 1966 ketika di bangku sekolah dan siri yang paling diminati ialah Batman The Animated Series 1992.
Razman berkata koleksi pertamanya merupakan hadiah daripada ahli keluarga dan selepas itu, dia mula mengumpul koleksi figura aksi sedikit demi sedikit sejak awal tahun 2000. Antara figura yang paling mahal dimilikinya ialah Hotwheels Radio Control Batmobile daripada filem The Batman 2022 di mana ia mencecah sehingga RM3,000.

Bercerita lanjut, Razman yang kini bekerja sebagai seorang Penolong Pengurus di sebuah institusi pendidikan di ibu negara berkata ahli keluarga mahupun isterinya tidak pernah menghalang dirinya untuk meneruskan minatnya.
“Saya memilih hobi ini kerana setiap koleksi barang mainan dan patung figura mempunyai nilai pasaran yang tinggi.
“Sebagai contoh, Batwing dari filem Batman tahun 1989 merupakan salah sebuah figura aksi vintaj yang paling susah untuk dimiliki serta sudah diberhentikan produksi. Dahulu ia dibeli dengan harga RM300 tetapi kini ia mampu mencecah RM1,000 bergantung kepada penjagaan,” ujarnya kepada Wilayahku.
Razman yang pernah dilantik sebagai Presiden Kelab Batman Fans Malaysia pada tahun 2019 hingga Julai lalu berkata bahawa dirinya sering berkomunikasi, bertukar pandangan serta maklumat bersama komuniti untuk mendapatkan koleksi mainan terpakai selain bekerjasama mengadakan pameran koleksi model mainan setiap kali filem terbaharu bakal ditayangkan.
Ditanya mengenai perancangan bagi kesemua koleksi figura aksi Batman miliknya, Razman tidak berhasrat untuk menjual atau melepaskan kepada sesiapa sebaliknya ia akan disimpan sebagai pelaburan jangka masa panjang buat anak serta keluarganya pada masa hadapan. – WILAYAHKU