Selebriti

Kaki ibu membengkak dan lebam… DJ Lin pohon doa

- Diterbit 14 Jun 2022 12:53 AM MYT

PENYAMPAI radio popular Suria FM Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berterima kasih kepada orang ramai yang terus mendoakan ibunya, Puteh Jantan, 80, yang dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada Jumaat lalu selepas keadaan kesihatan terkini yang semakin merosot.

DJ Lin berkata, keadaan ibunya semakin terjejas apabila tangan dan kaki kiri ibunya membengkak dan meninggalkan kesan lebam yang teruk.

“Ibu ada masalah buah pinggang sejak lima tahun lalu dan perlu menjalani rawatan dialisis. Lebih parah lagi apabila lengan kiri yang digunakan untuk proses dialisis mengalami jangkitan kuman yang serius dan ianya tak dapat lagi digunakan.

“Meskipun tapak dialisis baru telah pun berjaya dibuat di lengan sebelah kanan namun ianya masih belum boleh digunakan disebabkan tekanan darah yang terlalu rendah. Buat sementara waktu ini, ibu terpaksa menjalani dialisis menggunakan paha kanan,” katanya.

Lebih membimbangkan bacaan sel darah merah ibunya pada hari ini mula mencatatkan penurunan ketara iaitu ke paras lima sedangkan lumrah manusia kebiasaannya mencatatkan bacaan minimum 10 ke atas.

Proses tambah darah akan dilakukan dalam usaha doktor untuk mengatasi masalah tersebut.

“Semalam mak tidur lebih dari 7 jam, beliau tak terdaya untuk membuka mata apatah lagi untuk makan dan minum,” katanya.

Menerusi perkongsian di Instagram, DJ Lin memuat naik video ibunya yang terlantar di hospital dan beliau turut memohon semua pihak untuk terus mendoakan kesihatan ibunya.

Menjengah di ruangan komen, rata rata rakan artis antaranya Faradhiya, Aznah Hamid, Sheeda Dangdut, Bob Yusof, Feeya Iskandar, Anna Aljuffrey juga rakan rakan media serta para peminat memberi kata-kata semangat serta doa buat ibu DJ Lin agar diberikan keajaiban, segera sembuh dan kembali sihat seperti sediakala.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan, alhamdulillah syukur kepada Illahi, hari ini keadaan kesihatan ibu mula menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Tambah DJ Lin, pasti ini atas berkat doa semua pihak selepas video tentang keadaan terkini ibunya telah dimuat naik di Instagram, TikTok dan Twitter miliknya, @djlinsuriacinta serta di fan page Facebook di DJ LIN (SURIA CiNTA) SURIA FM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas