KAKAK kepaada pemandu Honda Jazz, yang telah meragut dua nyawa dalam insiden kemalangan di Senawang, pada Khamis lalu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di platform Tik Tok.
Nur Athirah Najwa menerusi hantaran video itu memohon maaf kepada keluarga mangsa yang maut, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan pembonceng Muhammad Aswari Lotpi,16.
“Assalamualaikum, saya Nur Athirah Najwa, kakak kepada pelaku yang terlibat dalam kemalangan di Senawang, ingin memohon maaf pada pihak keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia atas posting dan komen yang keterlaluan hingga membuat semua marah.
“Saya sedar telah memuat naik hantaran dan komen tersebut dalam keadaan emosi. Saya betul-betul minta maaf dan saya menyesal,” katanya.
Nur Athirah sebelum ini menimbulkan kemarahan ramai pihak apabila tampil mempertahankan adiknya yang telah menyebabkan dua kematian manakala dua lagi mangsa lain cedera parah.
Pada Khamis lalu, tular satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) melibatkan satu kemalangan jalan raya yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Persiaran Senawang 1.
Rakaman tersebut menunjukkan Honda Jazz dipandu dengan laju oleh pelaku hingga merempuh penunggang motosikal.
Susulan kejadian itu, polis mengesahkan pemandu kereta Honda Jazz tidak mempunyai lesen memandu.-WILAYAHKU