PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau mengambil maklum dapatan tinjauan Merdeka Center berhubung kadar sokongan rakyat terhadapnya yang merosot ekoran kebimbangan ekonomi.
Walaubagaimanapun, beliau menyatakan ia perlu melibatkan pandangan khalayak lebih besar berbanding yang terlibat dalam tinjauan tersebut.
“Tinjauan (melibatkan) 1,200 orang dan kita mendengar pandangan mereka, tetapi kita perlu libatkan (engage) 32 juta rakyat,” katanya yang merujuk kepada jumlah keseluruhan rakyat negara ini.
Laporan Merdeka Center mendapati hanya separuh daripada responden tinjauan yang dijalankan bulan lalu berpuas hati dengan prestasi Anwar, berbanding 43 peratus yang menyatakan tidak.
Ini merupakan kadar sokongan terendah terhadap Anwar daripada tujuh tinjauan yang dijalankan badan itu sejak dia menjadi perdana menteri pada November tahun lalu.
Tinjauan yang dijalankan pada 4 hingga 24 Oktober lalu, melibatkan 1,220 pengundi diseluruh negara menerusi panggilan telefon.Merdeka Center menyatakan hanya 31 peratus pengundi berpandangan negara pada hala tuju betul, manakala 60 peratus berpandangan hala tuju negara ke arah salah. – WILAYAHKU