Berita

Kajian KRI: Pengkelasan B40, M40, T20 tidak lagi relevan

RAFIZI Ramli
- Diterbit 20 Februari 2025 12:10 PM MYT

KAJIAN Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang diterbitkan pada 30 Disember 2024 mendapati bahawa sistem pengkelasan pendapatan isi rumah B40, M40, dan T20 yang digunakan selama ini tidak lagi mencerminkan realiti ekonomi rakyat Malaysia.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata laporan KRI itu turut menyatakan sistem sedia ada tidak menggambarkan jurang pendapatan sebenar dengan majoriti golongan pertengahan kini berada dalam kumpulan T30, manakala cadangan pengelasan baharu seperti B20, M50 dan T30 dikatakan lebih sesuai dalam menggambarkan situasi ekonomi semasa.

“Kajian ini memberi gambaran bahawa pengelasan B40, M40 dan T20 mungkin tidak lagi sesuai dalam menentukan kumpulan sasar penerima bantuan serta merangka dasar ekonomi yang lebih tepat.

“Kerajaan juga mengambil maklum dapatan kajian tersebut dan kini sedang mempertimbangkan peralihan kepada sistem yang lebih adil dan bersasar, termasuk menggunakan Pendapatan Boleh Guna Bersih (Net Disposable Income, NDI) sebagai asas penentuan kumpulan penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan kepada Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Kuala Pilah) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Rafizi, kerajaan telah memaklumkan sebelum ini bahawa pengelasan baharu berdasarkan NDI lebih tepat dalam menentukan siapa yang benar-benar memerlukan bantuan kerana ia mengambil kira pendapatan bersih isi rumah selepas ditolak cukai, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), zakat, dan lain-lain potongan tetap.

“Ia turut merangkumi kos sara hidup mengikut lokasi dan demografi isi rumah dan juga keperluan sebenar untuk kehidupan wajar.

“NDI boleh digunakan sebagai asas dalam pemberian bantuan bagi mengurangkan keciciran dan memastikan keadilan sosial, terutama bagi kumpulan rentan yang mungkin terlepas dalam sistem lama,” katanya.

Menurut Rafizi, Malaysia bukan satu-satunya negara yang menilai semula sistem pengkelasan pendapatan isi rumah.

“Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura menggunakan kategori B20, M60 dan T20, manakala Thailand pula mengguna pakai model B50, M40 dan T10.

“Perbezaan ini menunjukkan setiap negara menyesuaikan pengelasan berdasarkan struktur ekonomi dan objektif dasar masing-masing,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa kerajaan kini meneliti kesesuaian pengkelasan pendapatan sama ada B20, B40 atau T15, T20, T30 dan ia bergantung kepada matlamat dan keperluan dasar setiap kementerian dan agensi.

“Perubahan ini bukan sekadar soal angka, tetapi bagaimana kita memastikan dasar ekonomi dan sosial benar-benar membantu rakyat yang memerlukan, khususnya dalam konteks peningkatan kos sara hidup dan stratifikasi ekonomi yang semakin kompleks.

“Dengan kajian terkini dan input daripada pelbagai pihak, kerajaan dijangka membuat keputusan mengenai model pengkelasan baharu dalam masa terdekat sejajar dengan usaha memperbaiki keberkesanan dasar sosioekonomi negara,” tambahnya.-WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas