Biz

Kafe animasi Jepun terbesar di Asia Tenggara, Doko Koko kini di Malaysia

- Diterbit 13 Februari 2025 2:31 PM MYT

DUNIA animasi Jepun di Malaysia kini berada di tahap tersendiri dan semakin mendapat tempat di hati ramai dengan pembukaan Doko Koko di LaLaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.

Ini secara tidak langsung, meletakkan Doko Koko sebagai premis dan kafe anime terbesar di Asia Tenggara yang menawarkan pelbagai produk asli dan eksklusif terus dari Jepun.

Selain menawarkan koleksi barangan eksklusif, Doko Koko turut menjalin kerjasama dengan pelbagai francais animasi Jepun bersiri yang terkenal sebagai salah satu pendekatan untuk
menghasilkan tema kafe berkenaan pada setiap bulan.

Terbaharu, Doko Koko telah memilih siri terkenal NIJISANJI EN dan Heaven’s Official Blessing sebagai tema pilihan sepanjang Januari dan Februari 2025.

Sekitar majlis perasmian Doko Koko di LaLaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.

Pengarah Doko Koko, Joshua Wong Yong Chern, berkata matlamat utama penubuhan premis ini adalah untuk membawa budaya animasi Jepun dengan lebih dekat kepada peminatnya di Malaysia.

“Sebelum ini, peminat anime di Malaysia perlu ke Jepun untuk mendapatkan barangan asli yang bukan sahaja mahal, tetapi juga sukar diperolehi.

“Dengan adanya Doko Koko, kami membawa satu pengalaman membeli-belah dunia anime ke
Malaysia pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Selain membawa produk antarabangsa ke Malaysia, Doko Koko turut berhasrat untuk menyokong kreativiti artis tempatan dalam menghasilkan karya dan nukilan animasi mereka sendiri.

“Ramai yang tidak tahu bahawa Malaysia juga mempunyai bakat hebat dalam dunia anime. Kami mahu memberi platform kepada artis tempatan untuk menonjolkan karya mereka,” ujarnya.

Dengan pembukaan Doko Koko, peminat anime di Malaysia kini mempunyai akses lebih mudah terhadap minat mereka dan pengalaman unik tanpa perlu ke luar negara.

Doko Koko juga boleh dijadikan tempat pertemuan komuniti peminat anime bagi berkongsi minat dan meraikan budaya bersama.

Cabaran dalam Industri Animasi

Menurut pengarah Doko Koko, cabaran utama dalam industri ini adalah mendapatkan lesen rasmi daripada pemegang hak cipta asal.

“Kami ingin memastikan semua produk yang dijual di sini adalah asli dan berlesen. Semua ini berlaku kerana kami melalui proses kelulusan yang ketat.

“Walaupun kos untuk mendapatkan lesen agak tinggi, kami percaya ia penting untuk memastikan peminat anime mendapat produk berkualiti dan juga asli,” jelasnya.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Doko Koko merancang untuk membuka
10 lagi cawangan baharu di seluruh negara dalam masa terdekat serta menyasarkan Johor Bahru sebagai lokasi terkini mereka pada masa akan datang.

Dodo Koko telah mengadakan majlis perasmian pada 12 Februari, Khamis, di LaLaport BBCC.

Acara ini telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti tarian singa, upacara memotong reben dan sesi Lou Shang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Majlis perasmian dihadiri oleh tetamu dari LaLaport BBCC sendiri yang memainkan peranan penting di dalam industri peruncitan dan animasi Jepun di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada tarikan utama, Doko Koko juga menyediakan seleksi makanan bertemakan anime. Premis ini juga menjual pelbagai merchandise eksklusif yang sukar didapati di tempat lain.

Terdapat figura daripada animasi Jepun terkenal, pakaian dan kit edisi terhad seperti gelas dan pelapik minuman dan pinggan bersama ilustrasi khas yang hanya boleh didapati di Doko Koko
pada harga berpatutan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas