Berita

Kadar tol mungkin boleh diturunkan

- Diterbit 9 September 2024 12:45 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar tol berkemungkinan boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuhraya dapat dikawal.

Beliau berkata terlalu banyak kos bayaran pembangunan lebuhraya yang dikeluarkan untuk proses kelulusan.

Anwar berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata keselesaan kepada rakyat bukan hanya meliputi infrastruktur dan fasiliti berkaitan perumahan sahaja tetapi juga terkait lebuhraya.

Katanya, ini demi kemudahan pengguna sewaktu ke destinasi masing-masing.

“Saya tekankan kepentingan tersebut sewaktu menyempurnakan Majlis Perasmian Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) sambil menggunakan kesempatan ini untuk melawat fasiliti yang disediakan.

“Saya maklumkan bahawa tekad Kerajaan Madani adalah bagi memastikan kepentingan rakyat termasuk hal keselesaan diutamakan ketika menggunakan fasiliti yang ada di lebuhraya,” tulisnya di Facebook.

Anwar berkata selepas berucap, beliau singgah beramah mesra menyantuni pengunjung, peniaga dan staf operasi R&R.

Beliau turut melihat sendiri surau yang disediakan untuk kemudahan termasuk solat Jumaat seusai mendapat kelulusan pihak berwajib kelak.

“Saya percaya, R&R Seremban Arah Selatan ini mengaplikasikan konsep pembangunan lestari (hijau) menggunakan tenaga suria (solar) dan rainwater harvesting.

“Ia dijangka dapat menjimatkan penggunaan elektrik dan air hatta memanfaatkan pengguna dan juga pihak pengoperasian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas