ANDA mempunyai kompaun tertunggak dengan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)? Nasihat kawan-kawan Kedai Kopi bayarlah bagi mengelakkan tindakan undang-undang. Sekarang adalah masa terbaik kerana DBKL menawarkan kadar istimewa untuk saman tertunggak.
Pemberian kadar istimewa ini bermula 1 Ogos lalu sehingga 30 September sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September. Bagaimana pun kadar ini hanya meliputi kesalahan berhubung lalu lintas dan kesalahan am sahaja.
Sebagai contoh bagi kesalahan lalu lintas‚ seperti kesalahan parkir dan lain-lain‚ kadar istimewa ialah RM10 untuk motosikal‚ RM20 untuk kereta, MPV dan lori kecil. Untuk bas dan lori pula ialah RM50.
Bagi kesalahan am seperti menjaja atau pelesenan‚ kadar rata diberikan ialah RM100. Namun kawan-kawan Kedai Kopi ingin ingatkan kesalahan-kesalahan ini tidak termasuk kesalahan yang melibatkan warga asing.
Langkah DBKL bermurah hati memberi kadar istimewa ini dialu-alukan dan wajar dipuji. Ia perlu dilihat daripada sudut positif sebagai ‘hadiah’ Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kepada warga kota. Langkah ini juga usaha murni DBKL menggalakkan orang ramai membayar saman.
Kerana itu warga kota wajar menyambut tawaran ini segera sebelum tempoh berakhir. Untuk kemudahan warga kota‚ mereka tidak perlu datang ke DBKL atau pejabat cawangan untuk membayar saman. Bayaran boleh dibuat melalui aplikasi Pay@KL. Ayuh beramai-ramai bayar kompaun tertunggak.