KERAJAAN telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat konsesi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil melalui penstrukturan semula syarikat berkenaan yang dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.
“Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti mana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.
“Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah membuat penelitian terperinci daripada semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan kerajaan.
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).
Selain itu, ia turut melibatkan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP).
Ujarnya, penstrukturan yang dilaksanakan itu akan dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi.
“Penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata, perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula ini akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. – WILAYAHKU