MESYUARAT Kabinet hari ini tidak ada membincang isu berhubung permohonan larangan bersuara dibuat Jabatan Peguam Negara bagi menghalang orang ramai membincangkan titah adendum bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang membolehkannya menjalani baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Kabinet tidak ada mengarahkan Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan larangan bersuara itu.
“Tidak ada dibincangkan. Kabinet tidak mengarahkan Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya pasca selepas Mesyuarat Kabinet hari ini di Kementerian Komunikasi.
Fahmi berkata demikian ketika ditanya sama ada Kabinet bersetuju dengan permohonan larangan bersuara dibuat Jabatan Peguam Negara bagi menghalang orang ramai membincangkan titah adendum Najib itu.
Pada Isnin lalu, dilaporkan kerajaan akan memfailkan perintah larangan bersuara di Mahkamah Tinggi untuk menghalang orang ramai membincangkan semakan kehakiman Najib bagi memaksa Putrajaya melaksanakan titah adendum yang akan membolehkannya menjalani baki tempoh penjara di bawah tahanan rumah. – WILAYAHKU