JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) dipertanggungjawabkan untuk menyelaras urusan logistik sebagai usaha melicinkan operasi kerajaan menjelang tahun Kepengerusian ASEAN 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, JWP turut berada di bawah task force yang diketuai Wisma Putra bagi menangani sebarang masalah khususnya melibatkan ibu negara.
“Bagi urusan logistik, ia termasuk di kawasan lain khususnya di Kuala Lumpur, jadi logistik mengambil kira banyak perkara antaranya pengindahan, pencahayaan Kuala Lumpur dan aspek keselamatan di bandar raya.
“Ia menjadi sangat penting kerana negara akan menerima ramai tetamu dan delegasi yang berprofil tinggi dari sekitar negara ASEAN,” katanya kepada pemberita.
Katanya, pihak JWP sentiasa dalam penyelarasan termasuk kemas kini kepada program yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dan telah mengemukakan tuntutan bajet untuk kita laksanakan kepada kerajaan.
“Kita difahamkan lebih 300 program yang akan dilaksanakan sepanjang Kepengerusian ASEAN dan KL menjadi tumpuan dan yang paling banyak program.
“Macam kita kenal pasti contohnya jalan-jalan protokol, mungkin hotel-hotel yang akan diinap oleh delegasi dan semua itu berada dalam tanggungjawab kita,” katanya.
Zaliha berkata pihaknya akan sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap situasi semasa di ibu negara dan ia dilaksanakan secara kerap termasuk aspek penyelarasan.
“Setakat ini saya belum berpuas hati dan kita perlu tengok lagi kerana perkara itu besar selain Kuala Lumpur yang menjadi pintu masuk utama negara perlu pastikan ada kerjasama.
“Contohnya jalan raya yang bukan di bawah seliaan DBKL dan ada di bawah JKR dan kita perlu selaraskan semula,” katanya. – WILAYAHKU