Berita

JWP seru peserta Pasport 50WP patuh peraturan

- Diterbit 1 Disember 2023 12:40 AM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) mengingatkan peserta Pasport 50WP untuk mematuhi setiap terma dan syarat ditetapkan pihak penganjur termasuk panduan bergambar yang diberikan.

Menurut JWP, ia bagi membolehkan peserta melaksanakan setiap misi penggembaraan di setiap lokasi dengan sempurna.

“Peserta perlu mengambil gambar atau selfie di checkpoint-checkpoint penting yang mana background belakang gambar mesti sama dan mematuhi panduan bergambar.

“Mereka boleh dapatkan panduan bergambar di dalam Facebook atau laman sesawang JWP di www.jwp.gov.my. Peserta perlu mematuhi setiap terma dan syarat yang diberikan untuk berpeluang memenangi cabaran ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam masa sama, JWP juga memaklumkan penganjur berhak untuk membatalkan penyertaan peserta yang melanggar mana-mana terma dan syarat bertulis.

“Penganjur tidak berobligasi untuk mengemukakan apa-apa sebab dan tiada sebarang surat-menyurat atau rayuan untuk mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh penganjur.

“Untuk maklumat lanjut berkenaan program ini, peserta boleh layari laman rasmi media sosial dan laman sesawang JWP atau menghubungi pihak urus setia melalui e-mel di [email protected] serta hotline di talian 010-264 8230/010-264 8258/010-264 8209,” katanya setiap peserta hanya dibenarkan untuk menghantar satu penyertaan.

Terdahulu, Program Pasport 50WP dilaksanakan bagi meraikan kegemilangan 50 tahun Wilayah Persekutuan sambil menjelajah, menikmati keindahan, keunikan serta kepelbagaian di Wilayah Persekutuan yang menjadi kebanggaan semua.

Program ini juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengenali lebih mendalam tentang sejarah dan warisan Wilayah Persekutuan selain memupuk rasa sayang dan sense of belonging dalam kalangan rakyat.

Warga negeri lain juga dialu-alukan untuk menyertai Pasport 50WP dengan persiapan untuk menerokai terus Wilayah Persekutuan bersama keluarga atau rakan-rakan setelah mengambil Pasport 50WP tersebut di mana-mana pickup point di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas