SERAMAI 85 gelandangan diselamatkan dalam satu operasi bersepadu bersama beberapa agensi sekitar hotspot di Kuala Lumpur.
Dalam satu hantaran di laman Facebook Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi berkenaan bagi membendung kebanjiran gelandangan di kawasan ibu kota.
“Tindakan itu bagi memastikan imej eksklusif bandar raya Kuala Lumpur di pelihara khususnya menjelang Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Antara kawasan hotspot yang menjadi tumpuan operasi adalah sekitar Chow Kit, Jalan TAR, Jalan Raja Laut, Brickfields, Bangkok Bank dan lain-lain,” katanya.
Selain it, JWP berkata operasi tersebut turut bersifat sebagai serampang dua mata bagi memberikan peluang kehidupan lebih baik kepada mereka di samping memastikan imej Kuala Lumpur adalah bersih dan sejahtera.
Operasi tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah JWP (Pengurusan dan Sosio Ekonomi), Datuk Parang Abai @ Thomas, Pengarah Bahagian Sosio Ekonomi JWP, Mohd Sharif Mohamad Yaakob dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Zulkifli Muhammad.
Dalam pada itu, kira-kira 100 anggota turut serta daripada pelbagai agensi iaitu JWP, DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). – WILAYAHKU