Berita

Juruterbang rugi RM1.36 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

- Diterbit 6 Januari 2025 7:38 PM MYT

JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menerima satu laporan polis di daerah Kajang berkaitan tipu pelaburan tidak wujud melibatkan kerugian RM1.36 juta yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pengadu merupakan warga tempatan berusia 50 tahun dan bekerja sebagai juruterbang syarikat penerbangan Malaysia.

Beliau memberitahu, pengadu telah tertarik dengan satu iklan pelaburan yang diiklankan melalui Instagram.

“Mangsa tidak dijanjikan pulangan secara spesifik dan hanya diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah dan pulangan yang lebih tinggi.

“Dia telah diberikan satu pautan untuk ke laman sesawang aplikasi UVKXE oleh suspek dan pengadu diajar cara menggunakan aplikasi tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hussein berkata, mangsa telah melakukan transaksi kemasukan wang dari Oktober sehingga Disember tahun lalu berjumlah RM1,366,885 melalui 34 kali transaksi ke dalam 10 akaun bank berlainan yang diberikan suspek.

Katanya, mangsa hanya mendapat pulangan sekali iaitu sebanyak RM4,300 daripada keseluruhan jumlah wang yang dilaburkan.

“Pengadu dimaklumkan suspek untuk melakukan pengeluaran melalui aplikasi itu dengan menekan ikon ‘withdrawal’.

“Namun setelah pengadu menekan ikon itu, tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaunnya dan pengadu berasa tertipu serta tampil membuat laporan polis,” katanya.

Jelasnya, satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dibuka dan massih dalam siasatan pihak polis.

Sehubungan itu katanya, pihak polis ingin memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiassa berwasopada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas