DI sebalik kejayaan pasti ada ‘tulang belakang’ yang membantu dan menjadi dorongan begitulah juga usaha keras yang dilakukan oleh tujuh orang jurulatih pasukan Pancaragam Kor Kadet Victoria Institution atau Victoria Institution Cadet Corps Band (VICCB) yang dianggotai oleh 100 pelajar.
Menariknya, kesungguhan melatih barisan pelajar tersebut secara tidak langsung adalah kerana mereka merupakan bekas pelajar sekolah tersebut yang pernah menyertai pasukan VICCB.
Berkongsi lanjut mengenainya, Pengarah Pasukan dan Drill Designer VICCB, Nazmi Naim Abd Ghani berkata latihan pasukan pancaragam dilatih oleh tujuh jurulatih termasuk dirinya yang dibahagikan tugas kepada tiga seksyen.

“Ia merangkumi Seksyen Bagpipe dan Colorguards, Seksyen Brass serta Seksyen Dram dan Pit Percussions. Dari segi latihan, kita jalankan sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada setiap hari Isnin dan Rabu setelah sesi persekolahan bermula pukul 3 petang dan Sabtu pula pada pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
“Walaupun mereka bersemangat menjalankan latihan namun akademik pelajar-pelajar yang terlibat sentiasa menjadi keutamaan misalnya jika musim peperiksaan, kami akan memberi ruang kepada pelajar untuk fokus kepada pelajaran.
“Pada musim cuti sekolah pula, mereka akan menjalankan latihan mengikut kesesuaian waktu dan kelapangan pelajar. Bagi persediaan pertandingan pula, tempoh latihan diambil sekurang-kurangnya enam hingga tujuh bulan atau minimum empat bulan,” katanya sambil menambah jadual latihan dibuat setelah berbincang dengan guru dan pihak sekolah.
Berkongsi tentang pengubahan muzik dan lagu, Nazmi berkata lirik dan rentaknya dicipta sendiri oleh kumpulan instruktor dan sebanyak empat lagu akan diberi tunjuk ajar kepada pasukan tersebut.
“Kami juga akan memberi tunjuk ajar dari segi pergerakan di mana setiap persembahan lebih kurang lapan hingga 12 minit, pasukan perlu bergerak dan membentuk pergerakan seiring muzik yang dimainkan. Selain itu mereka akan diajar cara bermain sambil menghafal kod muzik.

“Namun, paling mencabar ketika ini adalah untuk memupuk disiplin dan sahsiah dalam kalangan ahli pasukan memandangkan di sini semuanya lelaki, jadi ia memerlukan kesabaran yang sangat tinggi untuk melatih.
“Sekiranya mereka tiada sahsiah yang bagus, mungkin tidak dapat mencapai kecemerlangan sama ada di dalam Malaysia atau peringkat antarabangsa,” katanya pasukan pancaragam boleh melahirkan seorang pemimpin yang bukan sahaja mahir dalam bidang muzik malah bersahsiah tinggi.
Antara jurulatih tersebut adalah Kordinator dan Jurulatih Bagpipe dan Colorguards, Mohd Hezrul Hizham; Penolong Jurulatih Bagpipe dan Colorguards, Muhammad Hairul Zamzuri; Jurulatih Pasukan Brass, Muhammad Fikrizaki Zakaria; Penolong Jurulatih Pasukan Brass, Emeer Ellyas Pfordten Eddee Pfordten; Pengurus Pancaragam dan Jurulatih Pasukan Drum, Zakaria Patrum dan Penolong Jurulatih Pasukan Drum, Muhammad Faris Akmal Musa. – WILAYAHKU