PEMILIK kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan akan berkongsi tiga perkara mengenai Harimau Malaya pada Isnin.
Menerusi satu hantaran Instagram Story baginda pada Ahad, Tunku Ismail berkata jurulatih baharu bagi skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda (skuad bawah 23 tahun) kebangsaan akan diumumkan hari ini.
“Esok (Isnin) akan diumum berkenaan ketua jurulatih pasukan kebangsaan, jurulatih skuad B-23, pasukan perubatan dan teknologi yang akan digunakan memberi impak kepada skuad kebangsaan,” tulisnya.
Dalam masa sama, turut akan diumumkan ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Teknikal Harimau Malaya.
Selain itu, Tunku Ismail turut mendedahkan, mesyuarat bersama wakil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai usaha untuk mendapatkan data pemain warisan Malaysia yang beraksi di luar negara.
“Ada mesyuarat dengan wakil FIFA untuk dapatkan data pemain berdarah campuran Malaysia yang beraksi di luar negara,” katanya dalam hantaran tersebut. – WILAYAHKU