JURUGAMBAR bebas, Aqo Imran mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan atau memukul duo pereka fesyen, Razman dan Razmi dalam sebuah acara anugerah usahawan di sebuah hotel pada Rabu malam.
Aqo atau nama sebenar Muhammad Imran Khairil, 30, yang kelihatan tenang keluar dari bilik perbicaraan turut melafazkan istighfar apabila melihat beberapa rakannya termasuk pelakon Haris Annuar yang hadir memberi sokongan moral.
Dia yang diiringi peguam dan dikawal ketat oleh pihak berkuasa juga sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media yang hadir.
Ketika dibicarakan, Aqo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor atas dua pertuduhan mencederakan dua orang pereka fesyen dalam satu majlis di sebuah hotel mewah, pada Rabu.
Aqo membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran ketika prosiding mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamim bagi setiap pertuduhan.
Peguam Datuk Suresh Singh yang mewakili Aqo merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh bekerja sebagai jurugambar bebas (freelance) sudah berkahwin dan menanggung kedua ibubapa selain tidak mempunyai pendapatan tetap.
Farah Azura kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan RM3500 oleh seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari depan. – WILAYAHKU