Biz

Juraidah pasar kuih tradisi

- Diterbit 6 September 2024 12:30 PM MYT

MESKIPUN pernah gagal berkali-kali dalam perniagaan yang diceburi‚ namun semangat wanita yang dikenali sebagai Juraidah Tasim‚ 48‚ tidak pernah pudar. Malah dia bangkit semula hanya kerana mahu membantu suami menyara keluarga tercinta.

Ujarnya kepada Wilayahku‚ kegagalannya berniaga satu ketika dahulu disebabkan kesukaran untuk mengenal pasti produk yang mampu menarik pembeli selain kurangnya ilmu dalam bidang perniagaan.

“15 tahun bukanlah masa yang singkat‚ lima kali saya jatuh tersungkur dan modal perniagaan lebur begitu sahaja. Pernah juga saya berputus asa tetapi bila fikir balik‚ apa yang boleh saya buat selain berniaga.

“Sepanjang tempoh tersebut juga pelbagai produk saya jual antaranya pakaian dan kosmetik namun terpaksa ditutup kerana tiada sambutan dan berdepan dengan kerugian yang besar‚” ujarnya.

Bermula daripada situ‚ dia nekad untuk mencari gali ilmu sebelum memulakan bisnes kerana tidak mahu lagi berdepan dengan kegagalan seperti sebelum ini.

“Saya dibesarkan oleh ibu dan ayah yang juga merupakan peniaga di pasar tetapi saya akui ada betulnya kata-kata orang dahulu‚ jika orang tua pandai berniaga belum tentu anaknya mewarisi kelebihan tersebut.

“Dahulu‚ saya beranggapan berniaga ini mudah tetapi apabila lalui sendiri baru saya tahu peritnya ibu dan ayah mencari duit membesarkan kami adik-beradik‚ ” ujarnya.

Memandangkan Labuan merupakan antara lokasi tumpuan pelancong kerana keindahan pulaunya‚ maka dia mengambil kesempatan untuk menjual pelbagai jenis kuih dan biskut tradisional tempatan.

“Saya melakukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum memulakan bisnes secara kecil-kecilan kerana bimbang gagal seperti sebelum ini. Alhamdulillah ternyata ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya daripada pelancong.

“Selalunya mereka yang datang dari luar akan membeli kuih tradisional Borneo sebagai buah tangan untuk dibawa pulang tidak terkecuali juga dengan penduduk tempatan di sini‚” ujarnya yang mampu menjana pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan.

Dia kini menjalankan perniagaan di aras bawah Pasar Sentral Labuan dengan menjual lebih daripada 20 jenis kuih dengan harga bermula RM10 hingga RM40. Antara kuih yang mendapat permintaan tinggi adalah kuih cincin‚ amplang dan panjaram.

“Bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata tetapi saya gembira kerana dapat membantu pengusaha tempatan di pulau ini. Saya harap golongan muda juga agar tidak melepaskan peluang berniaga sekali gus dapat memperkenalkan kuih tempatan kepada pelancong luar.

“Kuih tradisional tempatan merupakan tradisi turun-temurun yang saya kira perlu diuar-uarkan kepada luar. Ia mempunyai nilai yang tinggi dari segi warisan yang tidak akan luput zaman- berzaman. Sebagai pencinta kuih tersebut‚ saya berbesar hati untuk memperkenalkannya kepada pelancong‚” ujarnya.

Bercerita lanjut‚ Juraidah berkata bagi perancangan masa hadapan‚ dia mahu menghasilkan produk kuih sendiri dan membuka kedai untuk memastikan bisnesnya lebih maju dan stabil.

“Insya-Allah saya dalam perancangan ke arah itu. Buat masa ini saya masih mengambil stok daripada pengusaha tempatan namun selepas ini mungkin saya akan usahakan sendiri dengan adanya pekerja sendiri.

“Saya mahu legasi kuih tradisional ini bergerak jauh pada masa hadapan dan yang pastinya akan diwarisi oleh anak-anak supaya ia tidak terhenti begitu sahaja.

“Dalam masa yang sama‚ saya juga berharap agar pihak yang berkaitan dapat memberi ruang dan peluang kepada peniaga untuk meluaskan lagi perniagaan kerana saya nampak laluan ini boleh mendatangkan keuntungan sekali gus membantu peniaga kecil di pulau ini‚” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas