DENGAN ketibaan bulan Ramadan‚ seperti biasa bazar Ramadan bermula. Di sinilah medan untuk para peniaga mencari rezeki‚ juga untuk orang ramai membeli pelbagai jenis juadah berbuka puasa.
Mulai tahun ini bazar Ramadan di ibu negara dikendalikan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari segi permohonan lesen perniagaan serta penyelenggaraan bazar.
Kawan-kawan Kedai Kopi sifatkan langkah ini wajar untuk memastikan peniaga yang layak dan ingin berniaga mendapat lesen berniaga. Usaha ini memastikan peniaga mendapat harga sewaan tapak berpatutan‚ selain pengurusan lebih baik.
Sebelum ini urusan bazar Ramadan dikendalikan oleh pihak lain. Namun kerap terdengar kekecohan seperti pemilihan peniaga‚ peruntukan lot niaga dan sewa yang dianggap tinggi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan yang ingin berniaga.
Kerana itu langkah DBKL mengambil alih pengurusan dan pengendalian dapat mengatasi pelbagai masalah yang sering timbul sebelum ini. Ia juga dapat mengekang perbuatan pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan daripada operasi bazar Ramadan.
Namun peringatan kawan-kawan Kedai Kopi kepada yang memperoleh lesen niaga‚ jangan jual atau pindah lesen kepada pihak lain untuk untung segera.