Berita

Juara Program Pasport 50WP terharu raih RM20,000

- Diterbit 28 Julai 2024 12:06 PM MYT

PENANTIAN penuh debaran akhirnya terjawab apabila Mohd Abdul Rahim Abu Bakar diangkat menjadi juara Program Pasport 50WP sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Berkongsi keterujaan tersebut kepada Wilayahku, peserta yang berasal dari Perak ini berasa seakan mimpi ketika menerima panggilan daripada pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

“Alhamdulillah, rezeki yang tak disangka, misi meneroka segenap pelosok tiga wilayah di Malaysia meninggalkan memori terindah. Bayangkan 50 lokasi perlu dicari demi melengkapkan 50 cop pada Pasport 50WP,” ujarnya ketika ditemui pada sesi penyampaian hadiah di Karnival Santai Keluarga Temu DBKL@Wangsa Maju.

Bercerita tentang pengalaman menyertai misi meneroka keunikan dan keistimewaan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dia menyifatkan ia merupakan memori indah yang tidak dapat dilupakan.

“Jujur dari hati saya, Labuan adalah tempat misi 50WP yang paling saya gemari. Ini kali pertama saya jejakkan kaki di Labuan. Bukit Merinding begitu mencabar tapi menyeronokkan.

“Berjaya sampai ke puncak dan bergambar adalah pencapaian yang membanggakan,” kongsinya.

Selain Mohd Abdul Rahim, sembilan peserta berada di tempat kedua (RM8,000 setiap seorang); 20 peserta di tempat ketiga (RM3,000 setiap seorang) dan 20 peserta menerima saguhati bernilai RM500 setiap seorang.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.

Terdahulu, Program Pasport 50WP yang bermula 1 Oktober sehingga 25 Februari 2024 merupakan inisiatif JWP untuk meraikan kegemilangan 50 tahun Wilayah Persekutuan serta dalam masa sama menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengenali lebih mendalam tentang sejarah dan warisan Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas