Berita

Juara edisi pertama Piala Tunku Zara

QASIDAH Najwa bersama pasukan Hoki Dewan Wanita Kebangsaan menunjukkan Piala Tunku Zara yang dimenangi baru-baru ini.
- Diterbit 7 November 2019 6:32 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kemenangan merebut Piala Tunku Zara 2019 yang berlangsung di Dewan Jubli Merdeka, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini memberi semangat buat Pasukan Hoki Dewan Wanita Kebangsaan untuk menampilkan aksi terbaik pada pemilihan pemain ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina pada 15 November ini.

Salah seorang penyumbang gol pada kejohanan Piala Tunku Zara 2019, Qasidah Najwa Muhd. Halimi, 21, berkata, dia dan pasukan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menempatkan diri dalam pemilihan 12 pemain terbaik tersebut.

“Setakat ini kami giat menjalani latihan intensif pada setiap Isnin hingga Jumaat. Bagi diri saya sendiri, ini adalah peluang yang paling ditunggu-tunggu untuk beraksi pada temasya gilang-gemilang itu.

“Jika tersenarai, saya ingin menebus kekecewaan dua tahun lalu yang mana ketika itu pasukan Malaysia tewas kepada Thailand. Insya-Allah kali ini skuad hoki akan menghadiahkan emas kepada negara,” ujarnya.

Menyifatkan kejohanan Piala Tunku Zara 2019 yang berlangsung baru-baru ini sebagai pemanas badan sebelum ke Sukan SEA 2019, Qasidah bagaimanapun, mengakui ketika kejohanan baru-baru ini mereka berhadapan dengan saingan sengit oleh pasukan Uzbekistan.

“Saya menganggap sumbangan satu jaringan di babak kedua adalah rezeki untuk membantu pasukan Malaysia menjulang piala,” ujarnya.

Pada Piala Tunku Zara 2019, pasukan negara berjaya menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke 25 dan 30 menerusi Nur Aisyah sebelum Qasidah menambah jaringan gol, tujuh minit sebelum perlawanan tamat.

Terdahulu pada perlawanan yang berlangsung di Perak, pasukan bimbingan jurulatih Dharma Raj Abdullah beraksi cemerlang dalam peringkat kumpulan apabila menumpaskan kesemua lawannya dengan bertemu Filipina (12-0), Taiwan (5-1), Uzbekistan (2-0) dan Nepal (13-0) sebelum menang diperlawanan akhir bertemu pasukan Uzbekistan sekali lagi dengan skor 3-0.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas