Berita

Jualan Termurah MADANI diharap dikembangkan seluruh negara

- Diterbit 29 November 2024 12:05 PM MYT

“JUALAN Termurah Madani (JTM) diharap dapat dikembangkan ke seluruh negara agar dapat memberi manfaat kepada rakyat dan membantu menurunkan kos sara hidup,” ujar Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Beliau berkata perkara tersebut juga merupakan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Syed Abu Hussin pada 7 Disember ini peluncuran serentak JTM akan diadakan melibatkan tiga zon dan empat Parlimen.

“Iaitu Zon Utara di Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Sungai Petani.

“Zon Tengah di Parlimen Gombak dan Zon Selatan di Parlimen Port Dickson,” katanya pada sidang medianya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata peluncuran JTM diselaraskan oleh Kementerian Komunikasi di bawah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Anwar akan membuat peluncuran di Zon Utara, Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata turut bersama Parlimen Sungai Petani, yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sungai Petani sendiri.

Katanya, di Zon Tengah oleh Menteri Besar Selangor dan di Zon Selatan, peluncuran di buat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata Jualan Murah Bukit Gantang telah diperkenalkan dan diadakan di Parlimen Lembah Pantai pada 6 Januari lalu

Beliau berkata nama kepada program itu adalah JTM iaitu Khidmat Demi Rakyat.

“Alhamdulillah, sambutan yang sangat baik dan ramai yang hadir. Menteri sendiri melihat sambutan orang ramai dan mendapat respon yang sangat positif.

“Seterusnya di Parlimen Bandar Tun Razak yang diadakan pada 21 Januari lalu dan Parlimen Tambun pada 28 Januari lalu.

“Di Parlimen Tambun Perdana Menteri turun padang, merasai, menjiwai dan bersama rakyat dalam Program Jualan Termurah Madani kali pertama yang diadakan di sana,” katanya.

Tambahnya, JTM telah berkembang ke seluruh negara.

Katanya, Parlimen yang terlibat adalah Bukit Gantang, Parlimen Lembah Pantai, Parlimen Bandar Tun Razak, Parlimen Tambun, Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Sungai Petani, Parlimen Tanjong Karang, Parlimen Hulu Selangor, Parlimen Kuala Selangor, Parlimen Nibong Tebal, Parlimen Kluang, Parlimen Bangi, Parlimen Shah Alam, Parlimen Pasir Gudang dan Parlimen Padang Rengas,” katanya.

Beliau berkata penjimatan perbelanjaan rakyat dan pengguna daripada 256 siri program Jualan Termurah MADANI (JTM) tahun 2024 adalah sebanyak RM1.5 juta.

Katanya lagi, susulan ideanya menubuhkan JTM, telah wujud satu fenomena atau trend peniaga-peniaga juga menurunkan harga barangan yang dijual.

“Saya popularkan jual ikan sen-sen seekor, 20 sen, 30 sen, 50 sen bagi ikan rakyat seperti ikan temenung, ikan serdin, ikan selar, ikan lolong, ikan cencaru, ikan kunyit, ikan biji nangka dan lain-lain lagi.

“Bagi ikan kayangan atau premium ada yang saya jual RM1 ringgit seekor, RM5 ringgit seekor dan RM10 ringgit seekor iaitu bagi ikan siakap dan Bawal Hitam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas