Berita

Jualan cecah RM42 juta pada 2024, Khairul Aming bakal buka kilang ketiga di Kelantan

- Diterbit 19 Mac 2025 3:13 PM MYT

USAHAWAN muda yang juga pempengaruh terkenal, Khairul Aming, 33, sentiasa menjadi inspirasi buat anak-anak muda terutamanya Bumiputera.

Terkini, Khairul yang menjalankan perniagaan Sambal Nyet Berapi dan Dendeng Nyet Berapi berjaya meraih jualan mencecah RM42 juta pada tahun 2024.

Khairul berkongsi kejayaan yang membanggakan itu menerusi perkongsian di Instagram (IG) di mana menunjukkan peningkatan sebanyak 110 peratus berbanding hanya RM20 juta yang dicatatkan pada tahun 2023.

“Sukacita nak kongsikan kepada korang semua, yang Alhamdulillah jualan produk Khairulaming untuk tahun 2024 mencecah RM 42 Juta, iaitu peningkatan sebanyak 110% dari tahun sebelumnya (RM 20 juta).

“Dari jualan RM42 juta itu, 70 peratus datangnya daripada livestream,” katanya.

Kejayaan itu telah mendorong Khairul untuk membuka kilang ketiga di Kelantan serta memperkenalkan produk ketiga dan perluaskan pasukan livestream.

“Untuk tahun 2025 fokus kita adalah untuk buka kilang ketiga di Kelantan, keluarkan produk ketiga dan expand lagi team livestream.

“Insya Allah, kilang ketiga akan beroperasi tahun ini juga, seiring dengan produk ketiga nanti.

“Terima kasih semua atas sokongan, Alhamdulillah sekarang dah masuk tahun kelima kita berniaga.

“Harap boleh ‘expand’ lagi untuk tahun-tahun akan datang,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas