WARGA Putrajaya bakal berpeluang menikmati harga ayam pada kadar lebih murah iaitu RM8.50 sekilogram bermula 1 Ogos ini melalui Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah di semua pasar awam di Putrajaya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memaklumkan bermula 1 Ogos, harga ayam akan diturunkan kepada RM8.50 dan ia merupakan harga termurah.
“Saya ingin mengajak orang awam datang beramai-ramai ke sini kerana kita juga akan mewujudkan sebuah pusat penyembelihan ayam di Presint 20 bagi membolehkan ayam disembelih di Putrajaya,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Prapelancaran Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria Presint 4, Putrajaya hari ini.
Jelasnya, pusat penyembelihan itu diwujudkan di kawasan berkenaan berikutan sudah ada gudang-gudang yang dikhaskan bagi pelaksanaan tersebut.
Tambahnya, Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah telah dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Labuan pada 14 Julai lepas dengan menawarkan barangan keperluan asas dan makanan kering secara terus daripada pembekal ke kawasan perumahan, manakala di Labuan, program itu dilaksana melalui peruncit yang dikenal pasti Perbadanan Labuan (PL).
Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.
Dalam pada itu, Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022 kali ke-12 akan mempamerkan lebih daripada 400,000 pokok daripada pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan seumpama suatu hamparan bunga-bungaan yang berwarna-warni dan begitu menarik di dalam suasana landskap dan taman.
“Kami menyasarkan 500,000 pengunjung berbanding 150,000 pada 2019 untuk menghadiri festival kali ini bermula 29 Ogos.
“Penganjuran ini amat bertepatan dengan matlamat perancangan dan pembangunan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai ‘intelligent garden city’ yang menggabungkan elemen moden dan alam semula jadi serta dihiasi dengan kepelbagaian flora yang berwarna-warni yang terdapat di negara ini.
“Saya yakin festival ini mampu mengembalikan keceriaan kepada masyarakat yang merindui warna-warni Floria selama dua tahun disebabkan pandemik,” ujarnya.
Festival tahunan itu merupakan anjuran Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sempena Sambutan Jubli Perak Putrajaya ke-25 tahun dan Sambutan Hari Kebangsaan ke-65. – WILAYAHKU