JABATAN Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menerusi kesemua 13 Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri melaksanakan operasi bersepadu bermula pada awal pagi semalam hingga 4 petang secara serentak di seluruh negara.
JTKSM memaklumkan operasi itu mengambil kira semua aspek yang mencakupi bidang kuasa semua jabatan dan agensi yang terbabit serta antara akta yang diperiksa sepanjang operasi bersepadu itu ialah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 serta Akta Kerja 1955 di bawah JTKSM dan akta di bawah Jabatan Imigresen (JIM).
“Kesemua kesalahan dan pelanggaran yang dilakukan dan dikesan sepanjang operasi akan diambil tindakan tegas selaras peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan oleh semua jabatan dan agensi yang terbabit dalam operasi ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, JTKSM berkata operasi sebegini akan diteruskan dalam pelbagai sektor bagi memastikan tiada pihak yang boleh memperlekehkan undang-undang perburuhan negara.
“Operasi ini juga sangat perlu dalam memastikan pemain industri sentiasa peka dan meningkatkan pematuhan terhadap semua akta yang dikuatkuasakan di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Operasi tersebut dilaksanakan dengan kekuatan anggota penguat kuasa sebanyak 92 pegawai melibatkan 35 premis pekerjaan dalam sektor pembuatan sebagai sektor sasaran yang pertama.
Selain JTKSM dan JTK Negeri, operasi bersepadu itu turut disertai oleh JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). – WILAYAHKU