Berita

JTI Malaysia saran kerajaan gubal peraturan bagi produk vape

- Diterbit 27 Februari 2024 6:25 PM MYT

JAPAN Tobacco International (JTI) Malaysia telah menyarankan agar kerajaan menggubal peraturan bagi produk vape di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Pengurus Besar JTI Juliana Mohd Yahya berkata peraturan itu adalah penting dalam melindungi pengguna produk vape dan memudahkan kutipan cukai eksais daripada kategori produk ini terutama apabila mempertimbang kedudukan Malaysia sebagai pasaran e-vape ke-12 terbesar di dunia.

“Meskipun e-cecair yang mengandungi nikotin telahpun dikecualikan daripada Akta Racun 1952 sejak 1 April 2023 dan membolehkan ia dijual di kedai runcit, produk vape masih belum dikawal,” katanya pada sidang media bertajuk Illegal Cigarette Trade: A Noticeable Decline In 2023 but Fake Tax Stamp Incidents Surged di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap kesenjangan peraturan itu sehingga membolehkan pengusaha tidak bertanggungjawab memasarkan produk vape yang menyerupai mainan dan mengandungi bahan berbahaya yang dilarang di negara maju.

“Peraturan e-vape perlu dikuatkuasakan kerana ketika ini, tiada kawalan ke atas produk, ramuan, jualan dalam talian dan pemasaran.

“Saya sendiri pernah menyaksikan situasi di mana kedai vape menyasarkan golongan kanak-kanak,” katanya sambil menekankan kepentingan untuk menangani isu itu.

Juliana turut merujuk pelaksanaan peraturan di United Kingdom berhubung ramuan dan jumlah nikotin sebagai model yang boleh dipertimbang oleh Malaysia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas