JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar khususnya di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata pelbagai strategi jangka pendek dan panjang dirangka bagi membantu mencapai hasrat itu.
“Bagi menyelaras urusan penyaluran bantuan, Mesyuarat Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Wilayah Persekutuan diadakan secara berkala dengan semua agensi berkaitan.
“Antaranya Kementerian Ekonomi (KE), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya.
“JWP turut menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) bersama Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar secara bersasar di 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan,” katanya.
SLU bertujuan untuk menyelaras dan mengemaskini maklumat peribadi mereka bagi tujuan penyaluran bantuan.
Kata Zaliha, bukan saja melibatkan agensi kerajaan berkaitan SLU turut mendapat kerjasama dan pembabitan Ahli Parlimen dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan.
Bagi strategi jangka pendek, penyaluran bantuan sama ada bantuan tunai atau bukan tunai dilaksanakan dengan seberapa segera bagi membantu golongan ini menampung keperluan perbelanjaan dan kos sara hidup seharian.
Jenis bantuan yang disalurkan seperti bantuan tunai bulanan, sumbangan peralatan asas persekolahan, bantuan sewa rumah, perkhidmatan bas sekolah percuma dan sebagainya.
“Sebagai strategi jangka panjang pula, JWP telah memperkenalkan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) sebagai usaha untuk mengatasi isu sosio-ekonomi di Wilayah Persekutuan.
“PUJI terdiri daripada enam inisiatif iaitu Upaya@PUJI, Ihsan@PUJI, Lindung@PUJI, Ilmu@PUJI, Sihat@PUJI dan Infra@PUJI.
“Di bawah inisiatif Upaya@PUJI, JWP telah menganjurkan program pendayaupayaan yang bertujuan melengkapkan Ketua Isi Rumah (KIR) atau Ahli Isi Rumah (AIR) miskin tegar dengan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian agar membantu mereka menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan, keusahawanan atau penempatan kerjaya (job placement),” katanya lagi.
Program pendayaupayaan ini dijayakan bersama rakan strategik JWP yang terdiri daripada agensi Kerajaan, syarikat swasta, non-profit organization (NPO) dan perusahaan sosial seperti dapur digital, kiosk usahawan muda kota dan sebagainya.
Program ini dilihat lebih berdaya mampan (sustainable) dalam membantu golongan ini menjana pendapatan berterusan seterusnya mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan tegar tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan berbentuk tunai.
Zaliha berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (Bukit Bintang) di Dewan Rakyat yang meminta perdana menteri menyatakan pendekatan holistik diambil untuk membantu golongan miskin tegar di Kuala Lumpur keluar daripada kitaran kemiskinan. – WILAYAHKU