PEMILIHAN PKR 2025 mencatatkan penyertaan luar biasa dengan lebih 17,500 pencalonan diterima daripada 222 Cabang di seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen tinggi anggota parti dalam mengukuhkan proses demokrasi dalaman yang matang dan inklusif.
Menurut beliau, penutupan proses penamaan calon pada 16 Mac menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pemilihan parti.
“Kini, pemilihan akan memasuki fasa seterusnya, iaitu proses bantahan terhadap calon-calon, yang akan berlangsung mulai 18 Mac (12 tengah hari) hingga 20 Mac (11.59 malam).
“Selepas itu, proses rayuan terhadap bantahan akan dibuka dari 24 hingga 25 Mac untuk memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua calon yang bertanding,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, bagi calon yang memilih untuk menarik diri atau membatalkan pencalonan, mereka diberi ruang untuk berbuat demikian sebelum 20 Mac.
Selepas melalui semua proses ini katanya, senarai muktamad pencalonan bagi Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dan Wanita Cabang akan diumumkan pada 28 Mac.
“JPP ingin menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang telah menyertai proses ini dengan penuh semangat dan dedikasi.
“Penyertaan besar ini membuktikan bahawa PKR terus menjadi wadah perjuangan yang demokratik, inklusif dan terbuka kepada penyertaan akar umbi,” katanya.
Sehubungan itu jelasnya, JPP mengingatkan semua calon dan penyokong agar terus mematuhi tatacara pemilihan bagi memastikan proses ini berjalan dengan lancar, telus dan harmoni. – WILAYAHKU