Berita

JPN dalam fasa akhir ganti MyKad baharu

Gambar hiasan
- Diterbit 20 November 2024 5:56 PM MYT

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan perolehan MyKad struktur baharu yang bakal menggantikan kad pengenalan sedia ada.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, hal demikian kerana MyKad yang ada ketika ini telah dikeluarkan kepada rakyat Malaysia sejak 2012.

“Penggantian kad pengenalan struktur baharu ini bertujuan memastikan kad pengenalan yang bakal dikeluarkan oleh JPN kepada rakyat Malaysia mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi, selamat dan dipertingkatkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai status terkini berkaitan dengan kad pengenalan generasi baharu yang bakal diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

Shamsul Anuar berkata, langkah tersebut selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini serta bagi membendung sebarang insiden dan percubaan untuk memalsu dan menyalahguna kad pengenalan yang menjadi dokumen pengenalan diri utama di Malaysia.

Menjawab soalan tambahan Mandzri, beliau berkata, MyKad generasi baharu dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih dan diperbuat daripada bahan ‘polycarbonat’ yang sudah diuji ketahanannya di makmal bertauliah.

Katanya, ia turut dilengkapi ciri keselamatan berkapasiti storan yang lebih besar dengan piawaian keselamatan dipertingkatkan.

“Reka bentuk MyKad baharu ini juga tampil lebih moden dengan elemen seperti tulisan laser dan hologram yang lebih maju selaras dengan perkembangan teknologi terkini.

“Ciri keselamatan terkini itu diyakini mampu mengatasi isu pemalsuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas