PERUNTUKAN sebanyak RM270,000 oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi Tadbir Urus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melibatkan 27 buah kampung di Labuan amat dinanti-nantikan oleh semua ahli JPKK di pulau tersebut.
Pengerusi JPKK Kampung Bukit Kalam, Shuhaimi Kula menyifatkan peruntukan geran RM10,000 bagi pengurusan kampung yang diagihkan amat diperlukan bagi membantu pengurusan dan aktiviti JPKK kampung.
“Ia bagi melahirkan kampung yang sejahtera melalui elemen perancangan dan pelaksanaan program pembangunan kampung yang menyeluruh.
“Dengan peruntukan ini, kami di setiap JPKK dapat menjalankan tugas dengan lancar dan boleh merancang pembangunan dan program yang bakal dilaksanakan kepada penduduk kampung,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyalurkan peruntukan sebanyak RM520,000 kepada warga Labuan bagi menjamin kesejahteraan dan keperluan warga di pulau itu.
Sejumlah RM270,000 merupakan sumbangan kepada JPKK manakala RM200,000 merupakan bantuan khas bagi masalah hakisan pantai di sekitar Tapak Lestari Niaga Kampung Tanjung Aru Nelayan sekali gus untuk kerja-kerja membina benteng.
“Selain itu, RM50,000 disalurkan bagi Program Kebun Komuniti Kita @ Wilayah Persekutuan untuk pembinaan fertigasi meja di Kebun Komuniti Masjid Kg Layang-Layangan yang berkeluasan 410 meter persegi bagi menanam pelbagai tanaman seperti terung, limau kasturi, labu dan jagung.
“Hasil tanaman di kebun komuniti tersebut membantu menjana dan meningkatkan ekonomi sara hidup kariah masjid dan komuniti setempat. Jabatan Pertanian Labuan sentiasa memberikan latihan dan pendedahan mengenai kaedah penanaman dan penjagaan tanaman kepada pengusaha kebun komuniti di kampung ini.
“Jabatan Pertanian Labuan dengan kerjasama PL memperkenalkan kaedah ini kepada komuniti Kg Layang-Layangan untuk meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kampung Tanjung Aru Nelayan, Masjid Layang-Layangan dan Labuan International Golf Club (LIGC), baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Noridah Abdul Rahim; Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail. – WILAYAHKU